PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG (KOTA MELAKA) minta MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIR menyatakan apakah status (jumlah peruntukan, perincian jadual pembinaan, kerja yang telah dimulakan/disiapkan, dan maklumat-maklumat lain berkaitan projek-projek bekalan air di Melaka berikut:
(a) TAPS Jernih dan TAPS Melaka; dan
(b) Projek penyaluran air dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi mengatasi masalah ketidakcukupan sumber air di Melaka, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM550 juta di bawah RMKe-11 bagi pelaksanaan projek Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih dan TAPS Melaka bagi meningkatkan kapasiti air mentah bagi tujuan rawatan.
2. Projek Pembinaan TAPS Jernih sedia untuk ditender pada bila-bila masa tertakluk kepada persetujuan dan pengesahan bersama di antara Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Negeri Sembilan. Berdasarkan penilaian, pembinaan projek ini akan mengambil masa selama 30 bulan untuk disiapkan.
3. Manakala bagi pembinaan TAPS Melaka, juru perunding telah dilantik pada 19 Oktober 2019 bagi melaksanakan kajian, rekabentuk termasuk pengawasan pembinaan. Projek ini dijangka dapat dimulakan pada suku ketiga tahun 2021 dan siap pada tahun 2024.
4. Dalam pada itu juga, Kementerian ini turut mempertimbangkan permohonan Melaka untuk projek mitigasi jangka pendek bagi menghadapi musim kemarau iaitu projek penyaluran air mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus, Daerah Jasin. Projek
ini melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta yang akan dipohon di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMKe-12)
Sekian, terima kasih.

