PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA,
PARLIMEN KE-14
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
TARIKH : 14 DISEMBER 2020 (ISNIN)
SOALAN
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka] minta PERDANA MENTERI menyatakan:
(a) adakah Kementerian akan menerbitkan laporan akhir Electoral Reform Committee (ERC) kepada ahli Parlimen dan secara awam (nyatakan sebab-sebab jika tidak); dan
(b) apakah tindakan Kementerian seterusnya untuk mereformasi dan menambah baik sistem dan proses pilihan raya di Malaysia, termasuk garis masa.
JAWAPAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) [Dato’ Takiyuddin bin Hassan]:
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Kota Melaka. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, kajian Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya atau Electoral Reform Committee (ERC) dengan izin, yang telah dijalankan selama lebih kurang dua tahun telah pun selesai pada awal bulan Ogos yang lalu. Sebaik saja kajian selesai, sebuah laporan berhubungan dengan hasil dapatan dan kajian berserta dengan syor-syor penambahbaikan telah pun disediakan. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menerima laporan tersebut bagi pihak kerajaan daripada Pengerusi ERC pada 27 Ogos 2020 yang lalu yang mana laporan ini mengandungi sebanyak 49 syor-syor penambahbaikan yang menyentuh perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pilihan raya.
Kerajaan amat komited dalam memastikan pembangunan demokrasi adalah seiring dengan peredaran zaman dan keperluan rakyat di negara ini. Laporan yang dikemukakan oleh ERC ini melibatkan bukan saja aspek perubahan kepada sistem pilihan raya, namun juga terdapat perubahan dalam pelbagai aspek pengurusan kerajaan yang turut melibatkan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi. Sehubungan itu, kerajaan sedang meneliti satu persatu syor yang dikemukakan untuk membuat penilaian terhadap kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya. Kerajaan memerlukan masa untuk membuat penelitian kerana perlu mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi khususnya badan yang berkepentingan utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Justeru, ERC telah menyenaraikan pelan tindakan secara berfasa. Antaranya, ialah mencadangkan agar diwujudkan sebuah badan penyelaras dan pemantauan tindakan untuk menyelaras dan memantau tindakan oleh pelbagai agensi kerajaan terhadap setiap syor yang dikemukakan. Dalam hal ini Tuan Yang di-Pertua, kerajaan amat berhati-hati dan bersikap realistik dalam melaksanakan perubahan dan penambahbaikan untuk kebaikan rakyat. Kerajaan perlu juga memastikan bahawa setiap perubahan yang dilaksanakan akan benar-benar dapat memberikan nilai tambah kepada kehidupan rakyat di negara ini. Terima kasih.
Saya rasa dalam jawapan saya tadi secara tidak langsung saya menyatakan bahawa kerajaan telah mengambil langkah-langkah. Pertamanya, jawatankuasa ini mengemukakan laporan hasil dapatan mereka. Kemudian di pihak kerajaan – ini perkara perkembangan baharu ya, pihak kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas untuk mengkaji semula. Apabila ERC ini mengemukakan laporan, satu Jawatankuasa Khas pula ditubuhkan, diketuai oleh Yang Berhormat Gombak dan beberapa orang Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet untuk mengkaji finding atau dapatan ERC ini. Sebelum dapatan ini, sudah tentulah akan dibuka untuk tatapan awam, untuk pihak awam memberikan pandangan.
Ini sudah tentu satu langkah yang akan dibuat oleh pihak kerajaan. Sebagai sebuah laporan yang dibuat oleh sebuah jawatankuasa, saya percaya bagi pihak kerajaan, laporan ini akan dibentangkan di dalam Dewan Rakyat ini untuk tatapan ahli-ahli Parlimen dan kalau mempunyai keperluan boleh dibahaskan secara langsung ataupun tidak langsung di dalam Dewan yang mulia ini. Terima kasih.

