PEMBERITAHUAN PERTANYAAN JAWAB LISAN
DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : JAWAB LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
TARIKH : 2 DISEMBER 2020 (RABU)
SOALAN
Tuan Khoo Poay Tiong [ Kota Melaka ] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan :
(a) apakah mekanisme pelaksanaan kenaikan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan dinaikkan kepada RM1,000 seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri; dan
(b) apakah kewajaran dan kesan sosial serta ekonomi peningkatan tersebut.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Pada 30 Ogos 2020, YAB Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan cadangan kenaikan kadar bantuan daripada RM200 hingga RM300 kepada RM1,000 dengan tujuan untuk memenuhi keperluan asas (basic needs) dan meringankan beban penerima bantuan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan sesi libat urus bersama pihak Kementerian Kewangan berkaitan cadangan YAB Perdana Menteri Malaysia bagi kenaikan kadar bantuan.
Menerusi pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan pada 6 November 2020, sebanyak lima (5) skim bantuan kewangan persekutuan bagi menjaga kebajikan golongan rentan terutamanya golongan warga emas, pesakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU) dan juga keluarga miskin terutama golongan keluarga dari kumpulan B40 akan dinaikkan seperti berikut:
1. Kadar Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan seorang;
2. Kadar Bantuan Orang Tua (BOT) dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 sebulan seorang;
3. Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 sebulan seorang;
4. Kadar bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) dinaikkan daripada RM400 kepada RM450 sebulan seorang; dan
5. Kadar Bantuan Kanak-Kanak (BKK) untuk keluarga miskin dinaikkan daripada RM100 bagi seorang anak dengan maksimum RM450 kepada RM150 seorang anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun dan RM200 seorang anak berumur 6 tahun dan ke bawah dengan maksimum RM1,000 sekeluarga.
Kenaikan kadar bantuan ini akan bermula pada bulan Januari 2021 dan akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 penerima bantuan. Kenaikan kadar ini turut melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion iaitu tambahan peruntukan sebanyak RM700 juta.
Tuan Yang di-Pertua,
Cadangan kenaikan kadar bantuan JKM ini wajar dipertimbangkan kerana banyak memberi kesan sosial dan ekonomi kepada penerima bantuan serta membantu menampung kenaikan kos sara hidup yang membebani masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah dan daripada kumpulan keluarga B40.
Melalui bantuan bulanan JKM ini juga dapat menggalakkan kumpulan sasar terus tinggal dan berada dalam komuniti. Selain itu, ia juga dapat membantu keluarga miskin dan kumpulan B40 yang mempunyai isi rumah terutama anak-anak yang ramai untuk meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup penerima bantuan serta mengurangkan beban tanggungan keluarga.

