YB Datuk Azhar Azizan Harun
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia
Jalan Parlimen
50680 Kuala Lumpur
9 November 2020.
Datuk Yang di-Pertua,
KLARIFIKASI MENGENAI PENUBUHAN JAWATANKUASA PILIHAN KHAS
Dengan segara hormatnya saya merujuk kepada pengumuman Datuk Yang di-Pertua dan Penyata Jawatankuasa Dewan yang telah dibentangkan mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) yang baharu.
2. Sebagaimana yang kita sedia maklum, JKPK memainkan peranan yang penting dalam fungsi parlimen.
3. Pengumuman Datuk Yang di-Pertua mengenai JKPK yang baharu telah menimbulkan beberapa persoalan seperti berikut dan saya memohon penjelasan daripada Datuk Yang di-Pertua selaku Pengerusi Jawatankuasa Dewan:
(i) Parlimen sebelum ini telah menubuhkan beberapa JKPK sebelum berlakunya pertukaran kerajaan pada bulan Februari. 2020. Saya berpendapat bahawa pertukaran kerajaan tidak bererti struktur JKPK perlu bertukar kerana pihak kerajaan dan parlimen mempunyai fungsi tersendiri dan pengasingan kuasa (separation of powers). Perkara ini juga penting demi kelangsungan fungsi dan keberkesanan JKPK dalam jangka masa panjang.
(ii) Oleh itu, saya memohon penjelasan daripada Datuk Yang di-Pertua mengenai sebab dan keperluan membentuk JKPK yang baharu dan memansuhkan JKPK yang telah dibentuk sebelum ini, dan sama ada perilaku ini merupakan suatu kebiasaan (convention) dalam amalan parlimen (parliamentary practice). Penjelasan ini sangat penting kepada ahli-ahli parlimen dan rakyat atas sebab keterbukaan dan ketelusan.
(iii) Dari segi proses dan prosedur, sama memohon penjelasan Datuk Yang di-Pertua sama ada pembentukan JKPK baharu ini bererti JKPK yang sebelum ini terbubar secara automatik, termasuklah peruntukan peraturan mesyuarat yang berkaitan.
(iv) Sejumlah sembilan JKPK baharu telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Dewan. Saya memohon penjelasan Datuk Yang di-Pertua atas rasional dan kriteria yang digunapakai oleh Jawatankuasa Dewan dalam memilih dan menentukan sembilan JKPK baharu tersebut.
(v) Saya berpendapat bahawa skop JKPK yang dicadangkan tidak cukup menyeluruh. Secara khususnya, saya berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk mengekalkan JKPK Pilihan Raya sepertimana yang telah dibentuk sebelum ini. Ini adalah kerana pilihan raya merupakan suatu isu yang memerlukan pemantauan bi-partisan oleh parlimen.
Sebagai mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), saya yakin Datuk Yang di-Pertua juga sedia maklum bahawa SPR merupakan sebuah badan bebas yang dibentuk di bawah perlembagaan. Namun, sebahagian besar fungsi dan pentadbiran SPR tertakluk di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri. Oleh itu, JKPK Pilihan Raya amat penting bagi meningkatkan kebebasan dan integriti SPR, khasnya untuk tujuan pemantauan, laporan, dan keterbukaan.
Saya juga ingin menzahirkan kekecewaan saya kerana JKPK Pilihan Raya tidak termasuk dalam senarai cadangan JKPK yang dikemukan oleh Datuk Yang di-Pertua, sepertimana dalam Lampiran E, Penyata Jawatankuasa Dewan tersebut.
Maka, saya mencadangkan agar Jawatankuasa Dewan membuat suatu ketetapan untuk mengekalkan JKPK Pilihan Raya yang telahpun tertubuh sebelum ini.
(vi) Saya juga berpendapat bahawa terdapat beberapa JKPK, seperti JKPK Pilihan Raya dan JKPK Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, yang memainkan fungsi institusi (institutional function) dalam sistem demokrasi negara kita. JKPK seperti ini memainkan peranan yang berterusan dan bukannya mengikut kehendak atau keperluan semasa. Oleh itu, terdapat kepentingan untuk memastikan jawatankuasa tersebut ditubuhkan secara kekal supaya mereka dapat berperanan secara berterusan dan bebas.
Dalam hal ini, saya mencadangkan agar Jawatankuasa Dewan membuat ketetapan untuk menjadikan jawatankuasa-jawatankuasa ini, terutamanya JKPK Pilihan Raya, sebagai Jawatankuasa Tetap (Standing Committee).
4. Persoalan-persoalan dan cadangan-cadangan yang dibangkitkan di atas berkait rapat dengan penambahbaikan fungsi dan keberkesanan parlimen. Proses ini telah dimulakan dengan baik oleh Yang di-Pertua yang lepas, iaitu Tan Sri Mohamad Ariff, dan saya berharap agar Datuk Yang di-Pertua dapat meneruskan usaha-usaha tersebut.
5. Pertimbangan dan maklum balas Datuk Yang di-Pertua amat dihargai.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

