KOTA MELAKA, 21 SEPTEMBER 2020 – Program Latihan Politik Parlimen Kota Melaka telah bermula pada 20 September 2020 dengan penyertaan seramai 5 orang pelatih.
Program Latihan Politik Parlimen Kota Melaka 2020 diadakan bagi memberikan pendedahan kepada orang awam tentang sistem politik di Malaysia dan juga pembangunan politik akar umbi di Parlimen Kota Melaka.
Selain itu, program ini turut menjadi medan bagi orang awam untuk mengenali tugasan harian ahli Parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong dengan lebih dekat selain turut terlibat dalam urusan pentadbiran harian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka.
Program latihan ini akan berlangsung selama dua bulan dan para pelatih akan mempelajari tentang sistem politik Malaysia, terlibat dalam urusan pentadbiran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka dan dikehendaki terlibat dalam projek persendirian atau program-program anjuran Parlimen Kota Melaka seperti Food Bank Kota Melaka.
Disamping itu, proses pendaftaran program ini telah berjalan sejak bulan Julai 2020 yang lalu dan menerima sambutan yang amat menggalakkan.
Pada sesi kali ini, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka telah memilih seramai lima orang pelatih yang terdiri daripada peringkat umur yang berbeza iaitu 17 tahun sehingga 50 tahun.
Ujar YB Khoo Poay Tiong, program ini dapat memberikan gambaran kepada para pelatih tentang senario politik Malaysia dan tigasan-tugasan yang perlu dijalankan oleh setiap ahli Parlimen,
“Setiap ahli Parlimen ada kemahiran dan kaedah mereka tersendiri bagi mentadbir kawasan Parlimen masing-masing, oleh itu saya amat berharap para peserta bukan sahaja dapat mempelajari sesuatu yang baharu namun turut sama menyumbang idea kepada saya bagi mentadbir dan menjadi seorang ahli Parlimen yang lebih efektif dan efisien” tambah Poay Tiong lagi.
Insiatif ini dianjurkan juga dengan harapan bagi memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk terlibat secara aktif dalam politik kerana ianya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita. Kami juga menggalakkan agar sebuah dinamika politik yang lebih sihat, positif dan konstruktif dapat dibina oleh kita semua.


