Hari ini saya melawat saudari Shannen di Kampung Portugis dan menyampaikan sumbangan . Anak muda ini seorang pelajar cemerlang dari Melaka. SPM dapat straight A.
Tetapi keluarganya menghadapi kekangan untuk membiayai pembelajaran beliau ke universiti.
Sejak tahun lepas, saya telah memberi biasiswa pendidikan kepadanya supaya dapat membayar yuran dan sambung belajar. Kini, Shannen sedang belajar di UKM dalam bidang forensik. Setakat ini semua keputusan straight A. Tahniah!
Sebenarnya saya amat memahami situasi Shannen kerana dahulu saya pun begitu.
Pada tahun 1990an, saya tamat belajar sekolah menengah dan hendak menyambung pelajaran di Universiti Malaya. Tetapi keluarga saya pada ketika itu amat miskin dan tidak mampu menampung yuran pengajian.
Nak buat macam mana? Tidak boleh putus asa kerana pendidikan memang sangat penting.
Saya bekerja part time untuk mengumpul wang dan pada masa yang sama, ada seorang dermawan yang murah hati telah memberi sedikit sumbangan kepada saya.
Pengalaman ini saya tidak lupa sehingga sekarang.
Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua.
Maka saya juga memberitahu Shannen bahawa sumbangan yang saya berikan ini bukan daripada saya semata-mata. Ini budi daripada masyarakat kita yang turut membantu.
Saya harap apabila Shanen habis belajar dan mula bekerja kelak, bantulah mereka yang memerlukan pertolongan juga, terutamanya dari segi pendidikan. Dengan ini, satu budi baik akan dilipatgandakan pada masa hadapan.

