KOTA MELAKA, 19 OGOS 2020 – Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka buat julung kalinya menganjurkan program Foodbank Kota Melaka.
Progam Foodbank ini dianjurkan bagi meringankan beban penduduk yang terkesan dari segi pendapatan isi rumah disebabkan penularan pandemik Covid-19.
“Makanan adalah keperluan yang paling asas. Oleh itu, harapan saya ialah tiada penduduk di Kawasan Parlimen Kota Melaka yang menderita disebabkan kelaparan dan tidak cukup bekalan makanan,” kata Poay Tiong.
Menurut beliau lagi, program ini digerakkan berdasarkan pengalaman semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang menyaksikan ramai keluarga yang memohon bantuan makan kecemasan kerana terputus punca pendapatan.
Bekalan makanan yang disumbangkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka adalah selama tiga bulan dan akan diteruskan pemberiannya sekiranya masih ada lagi keperluan.
Pemohon perlulah memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan seperti rakyat Malaysia, bermastautin atau pengundi di Kawasan Parlimen Kota Melaka dan berpendapatan isi rumah di bawah RM2,375 atau mengalami kes-kes khas seperti kemalangan, kecemasan dan lain-lain lagi.
“Saya amat berharap usaha kita ini dapat membantu meringankan beban penduduk-penduduk di Kawasan Parlimen Kota Melaka yang terus terjejas disebabkan oleh Covid-19,” kata Poay Tiong.
Tambah Poay Tiong lagi, penularan pandemik Covid-19 ini menjejaskan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya dan memberikan kesan kepada rakyat biasa dengan kehilangan mata pencarian atau gaji mereka dipotong oleh majikan.
Pemohon yang berminat boleh mengunjungi laman web www.kotamelaka.com/foodbank/ bagi mendapatkan maklumat lanjut.